Apricon Farmas Health: Kebaikan Berjalan Kaki Apricon Farmas Health

Followers

Friday, March 6, 2015

Kebaikan Berjalan Kaki

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Admin tahu ramai diantara kita memang malas mahu berjalan, walaupun sekadar pergi ke kedai beli bawang (menaip berdasarkan pengalaman). Tetapi, tahukah anda bahawa berjalan kaki mempunyai kebaikan dari segala aspek. Jadi, hari ini admin mahu berkongsi dengan anda sedikit kebaikan berjalan kaki.

1. Meningkatkan tahap kesihatan


Berjalan kaki merupakan senaman paling mudah yang kita boleh lakukan. Dengan berjalan, kita boleh mengawal berat badan dan tekanan darah. Secara tidak langsung, dengan berjalan kaki sahaja kita sudah mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit seperti strok, kanser payudara, dan diabetes. Berjalan cepat setiap hari boleh meningkatkan mood serta mengurangkan risiko untuk menghidap kemurungan. 

2. Mengawal kecergasan mental


Selain mencergaskan fizikal tubuh badan kita, berjalan juga boleh mencergaskan fikiran dan mental manusia. Dari segi psikologi, berjalan kaki mampu memberikan peluang pada kita untuk melapangkan fikiran dan mengurangkan stres. Kalau anda selesa dengan aktiviti yang menenangkan, berjalan kaki juga boleh menjadi salah satu cara untuk bermeditasi. 

3. Meneroka alam sekitar




Tahukah anda bahawa masyarakat di bandar-bandar besar seperti New York, Paris, Tokyo, dan lain-lain paling suka berjalan kaki. Selain dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, berjalan kaki juga dapat mengasah ketajaman pancaindera mereka, membuatkan mereka dapat memberikan respon yang cepat terhadap persekitaran.

4. Bersosial


Kebiasaannya kita lebih suka berjalan bersama rakan berbanding berseorangan. Ini adalah kerana dengan berjalan secara berkumpulan kita dapat bersembang dan mengeratkan hubungan dengan membincangkan topik secara rawak tanpa gangguan dari pihak lain (berjalan sambil bermain gajet tidak dikira).

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat dengan menerapkan budaya berjalan kaki. Tidak perlu mengamalkannya dengan cara yang berlebihan. Cukup sekadar dengan meringankan tulang membantu ibu pergi ke kedai membeli sup bunjut, ataupun jika inginkan sesuatu, kita sendiri yang berjalan tanpa mengharapkan bantuan orang lain. 

No comments:

Post a Comment