Apricon Farmas Health: Pengambilan Ubat-Ubatan Semasa Berpuasa #HealthyRamadhan – Khairul Naim bin Zainal Abidin Apricon Farmas Health

Followers

Wednesday, May 25, 2016

Pengambilan Ubat-Ubatan Semasa Berpuasa #HealthyRamadhan – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Setiap kali menjelang bulan Ramadhan di mana orang islam yang berkemampuan untuk berpuasa diwajibkan untuk berpuasa, doktor, ahli farmasi atau jururawat yang bertugas di hospital, Klinik kesihatan dan retail pharmacy selalunya akan berdepan dengan dua soalan utama berkenaan cara untuk memakan ubat semasa berpuasa. Antara soalan yang sering ditanya ialah :


  1. Ubat jenis macam mana yang membatalkan puasa dan tak membatalkan puasa ?
  2. Bagaimana nak makan ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari, empat kali sehari ?
Ubat Jenis Macam Mana Yang Membatalkan Puasa Dan Tak Membatalkan Puasa ?

Perkara ni nampak mudah, teatpi terdapat percanggahan di antara pendapat ulama antarabangasa dan ulama Malaysia. Jadi Untuk berlaku adil saya senaraikan kedua-dua pendapat.

Semasa persidangan perubatan-agama di Morocco pada tahun 1997 yang bertajuk "An Islamic View Of Certain Contemprorary Medical Issues", berikut merupakan jenis-jenis ubat yang tidak membatalkan puasa.
  • Ubat titis mata & telinga
  • Semua bahan yang diserap ke dalam melalui kulit seperti krim, salap (ointment) dan plaster berubat
  • Ubat yang dimasukkan ke dalam vagina (pessaries) dan pencuci vagina
  • Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau salur darah kecuali makanan yang disalurkan melalui salur darah (total parenteral nutrition)
  • Gas oksigen dan ubat bius
  • Tablet nitroglycerine yang diletakkan di bawah lidah untuk rawatan sakit dada (angina)
  • gargle pencuci mulut atau semburan mulut dengan syarat tiada uabt ditelan ke dalam perut.
  • Ubat titis hidung, semburan hidung, ubat sedut paru-paru (inhaler)
  • Suntikan melaui dubur.
  • Pembedahan melibatkan bius menyeluruh (general anaesthesia)
Tapi kalau ikut JAKIM pula, bagi perkara yang di Bold tu, merupakan ubat-ubatan dan cara pengambilan ubat yang membatalkan puasa. Berikut merupakan ubat-ubat dan cara pengambilan ubat yang membatalkan puasa berdasarkan Buku Panduan Puasa Bagi  Peskait keluaran JAKIM :
  • Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga sehingga melepasi batas gegendang telinga.
  • Penggunaan ubat semburan (Spray) hidung yang disedut masuk ke dalam peparu
  • Alat sedutan paru-paru (inhaler) untuk rawatan lelah dan paru-paru kronik
  • Memasukkan ubat melalui dubur (enema & Suppository)
  • Penggunaan gas ubat bius menyeluruh
Secara amnya, terpulang kepada masing-masing untuk memilih pendapat mana untuk diikuti. Perkara berkenaan fiqh ni memang akan sentiasa ada khilaf dan perselisihan pendapat. Kalau ditanya kepada saya sendiri ada yang saya setuju dengan hasil ulama persidangan di Morocco dan ada pendapat JAKIM yang saya setuju. Sebagai contoh, ubat sedut paru-paru (inhalers) yang selalu digunakan oleh pesakit lelah (asthma) dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (chronic obstructructive pulmonary disease – COPD), saya cenderung untuk setuju dengan hasil persidangan di Morocco sebab ubat tersebut disedut ke dalam paru-paru untuk tujuan perubatan. Kalau sedut asap rokok atau pun asap shisha tu lain lah sebab yang tu sedut asap untuk rasa seronok dan lega. Kalau berkenaan pembedahan melibatkan bius menyeluruh tu saya setuju dengan JAKIM sekiranya sepanjang tempoh pembedahan dan hingga kesan ubat bius tu hilang, pesakit tak sedar daripada awal subuh sampai ke maghrib. Mungkin ada yang berpendapat disebabkan JAKIM merupakan pihak berkuasa di Malaysia, kita perlu ikut garis panduan JAKIM. Untuk perkara yang bercanggah ni saya serahkan kepada pertimbangan orang ramai sendiri untuk pilih pendapat yang mana.

Bagaimana Nak Makan Ubat Yang Perlu Dimakan Tiga Kali Sehari, Empat Kali Sehari ?

Kekerapan setiap ubat-ubatan untuk diambil adalah berbeza antar satu sama lain. Ada ubat yang perlu diambil sekali sehari sahaja, contohnya tablet Irbesartan yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Ada ubat yang kena diambil sampai lima kali sehari contohnya tablet Acyclovir, sejenis antivirus yang digunakan untuk rawatan cacar (herpes). Perbezaan kekerapan ni disebabkan sifat ubat tu sendiri - ada ubat yang lambat dikumuhkan oleh badan, ada ubat yang cepat dikumuhkan dari badan. Kalau macam ubat rawatan kencing manis (diabetes) pulak ada yang perlu diambil sebelum makan dan ada yang perlu diambil bersama makanan atau selapas makan. bergantung kepada cara ubat tersebut bertindakbalas dalam badan. Jadi semua perkara ini perlu diambil kira semasa pesakit menjalankan ibadah puasa.

Untuk ubat-ubatan yang perlu dimakan & diminum dalam bentuk tablet, kapsul, elixir, sirap dan sebagainya, berikut merupakan cara untuk mengagihkan kekerapan memakan ubat-ubat mengikut kesesuaian waktu makan pada bulan Ramadhan.


Kekerapan mengambil ubatWaktu makan ubat
Sekali sehari sebelum atau selepas makanSebelum sahur atau selepas berbuka puasa – dapatkan maklumat lanjut daripada ahli farmasi tentang waktu yang paling sesuai untuk mengambil ubat tersebut.
2 kali sehari selepas makanMakan ubat sekali selepas bersahur. Ambil sekali lagi selepas berbuka puasa
3 kali sehari selepas makanMakan ubat sekali selepas bersahur. Ambil sekali lagi untuk dos kedua selepas berbuka puasa. Ambil sekali lagi untuk dos ketiga sebelum tidur. Makan sedikit makanan sebelum mengambil ubat sebelum tidur (waktu moreh)
2 kali sehari sebelum makanMakan ubat sekali sebelum bersahur (sekurang-kurangnya setengah jam sebelum bersahur). Ambil sekali lagi untuk dos kedua bersama segelas air semasa berbuka puasa, kemudian tunggu setengah jam sebelum berbuka puasa dengan makan makanan seperti biasa
3 kali sehari sebelum makanMakan ubat sekali sebelum bersahur (sekurang-kurangnya setengah jam sebelum bersahur). Ambil sekali lagi untuk dos kedua bersama segelas air semasa berbuka puasa, kemudian tunggu setengah jam sebelum berbuka puasa dengan makan makanan seperti biasa. Ambil sekali lagi untuk dos ketiga setengah jam sebelum tidur.
4 kali sehari dan lebihMinta nasihat doktor berkenaan alternatif lain.

Bagi pengambilan ubat yang memerlukan pesakit mengambil ubat tiga kali atau lebih dalam sehari, adaklanya masalah kekerapan untuk memakan ubat tersebut boleh diatasi dengan  cara menukar ubat tersebut dengan ubat yang mampu bertindak dan memberikan kesan dengan lebih lama. Sebagai contohnya, kapsul amoxicillin merupakan antibiotik yang perlu diambil sebanyak 3 kali sehari boleh digantikan dengan tablet kombinasi amoxicillin & clavulanate yang cuma perlu diambil sebanyak 2 kali sehari. Walau bagaimanapun, keprluan untuk menukar jenis ubat yang perlu dimakan adalah tertakluk kepada penilaian doktor yang merawat pesakit selepas mempertimbangkan faktor-faktor tertentu semasa menjalankan rawatan.

Diharapkan maklumat yang dikongsikan dapat membantu mereka yang bakal menjalankan ibadah puasa dan dalam masa yang sama perlu mengambil ubat-ubatan. Panduan yang ditulis di dalam artikel ini merupakan panduan am – pesakit masih perlu mematuhi arahan doktor sekiranya terdapat percanggahan di antara panduan di dalam artikel ini dan arahan spesifik yang diberikan oleh doktor. Perlu diingatkan, Islam mengutamakan agar manusia memelihara kesihatan mereka. Sekiranya terdapat halangan kesihatan yang menghalang daripada menjalankan ibadah puasa, adalah harus untuk meninggalkan puasa dan menggantikannya sebaik sahaja kesihatan pulih.

No comments:

Post a Comment