Satu masa dahulu wajah komersialnya sering memperagakan pelbagai koleksi fesyen untuk paparan dalam majalah tempatan mahupun pentas peragaan. HASNITA SAWAL mengintai kehidupan model profesional ini selepas bergelar seorang ibu.
Wanita mana yang tidak gembira bila diri dinobatkan sebagai pemenang kedua dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World/Universe pada tahun 1998 dan 1999.
Model berdarah kacukan Punjabi dan Inggeris ini melalui pengalaman paling manis dalam hidupnya ketika zaman remaja. Peluang mencipta nama dalam bidang peragaan selama 20 tahun membuatkan Genevieve berpeluang menjelajah ke pelbagai jenis negara untuk melaksanakan tugasannya.
Kini kenangan indah yang terus tersimpan dalam lipatan sejarahnya akan diceritakan kepada sepasang cahaya mata yang menjadi keutamaannya ketika ini.
Kehadiran Isabella dan Alexander benar-benar mengubah persepsinya terhadap dunia keibuan. Baginya menjadi ibu memang merupakan satu tanggungjawab yang besar tetapi ia juga sesuatu yang menyeronokkan.
“Saya sentiasa cuba bersama mereka sepanjang masa. Saya akan bangunkan mereka dari tidur untuk ke sekolah, menghantar mereka ke sekolah dan menjemput mereka juga, bermain-main bersama anak-anak dan berakhir setiap hari dengan aktiviti bercerita sebelum tidur.
Saya juga sentiasa mendengar cerita dan masalah mereka, dan saya juga adalah orang yang akan mereka dapatkan jika ada sebarang masalah, ujarnya memberi pendapat tentang erti keseronokan sebenar seorang ibu.
Saat paling sukar
Ibu yang penyayang tetapi tegas ini turut berpengalaman melakukan tugas seorang pengacara hampir 10 tahun. Ekoran daripada pengalamannya yang luas bertemu pelbagai lapisan masyarakat, Genevieve turut menyandang tugas sebagai jurucakap bagi produk penjagaan kulit Dr Renaud dan Power Over Cervical Cancer (POCC).
Ibu yang penyayang tetapi tegas ini turut berpengalaman melakukan tugas seorang pengacara hampir 10 tahun. Ekoran daripada pengalamannya yang luas bertemu pelbagai lapisan masyarakat, Genevieve turut menyandang tugas sebagai jurucakap bagi produk penjagaan kulit Dr Renaud dan Power Over Cervical Cancer (POCC).
Sebenarnya ada cerita di sebalik pelantikannya sebagai Jurucakap POCC itu. Tugasnya bukan sekadar penghias kempen memerangi penyakit kanser tersebut semata-mata.
Tetapi pengalaman melawan penyakit kanser servik yang disahkan ke atasnya pada April 2009 benar-benar ingin dikongsikan dengan wanita lain.
“Ia masa yang paling sukar pernah saya dan keluarga lalui. Bila disahkan mengidap penyakit kanser servik saya hanya fikirkan kematian dan tidak boleh melihat anak-anak membesar. Ia memang sukar diterima.
Sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan membantu saya melalui saat sukar itu. Anak-anak juga banyak memberi dorongan untuk saya melawan sakit itu.
Saya sentiasa membawa foto-foto mereka bersama sepanjang dirawat di hospital dan ia sememangnya memberi saya kekuatan. Saya cuba menjalani kehidupan senormal yang boleh, seperti menguruskan anak-anak kerana ia banyak membantu saya melupakan seketika penyakit ini dan meneruskan kehidupan,” ujarnya bersyukur kerana Tuhan masih membenarkan dia terus bernafas.
sumber : majalahpama
No comments:
Post a Comment