Apricon Farmas Health: ubat Apricon Farmas Health

Followers

Showing posts with label ubat. Show all posts
Showing posts with label ubat. Show all posts

Tuesday, March 10, 2015

Bahaya Pengambilan Grapefruit Dengan Ubat-ubatan

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Tahukah anda bahawa terdapat 43 jenis ubat yang jika di ambil bersama limau gedang (grapefruit) akan menghasilkan reaksi yang merbahaya.


Berita mengenai kesan reaksi yang berlaku di antara campuran limau gedang dan ubat bukan berita baru terhadap golongan saintis. Kajian telah menunjukkan sekiranya ia di ambil bersama, ia akan menghasilkan reaksi kimia yang merbahaya berdasarkan bahan kimia yang dikenali sebagai furanocoumarins (juga terdapat di dalam lemon dan oren).

Kajian terbaru mendapati bahawa bilangan ubat-ubatan yang tidak boleh di ambil bersama limau gedang (termasuklah ubat untuk tekanan darah dan mengurangkan kolesterol) telah meningkat lebih dari 2x ganda semenjak 2008, disebabkan oleh formulasi ubat yang terkini. "Pengambilan satu tablet ubat bersama segelas jus limau gedang adalah seperti mengambil lima tablet bersama air," kata ketua penyelidikan, David Bailey, PhD, seorang ahli farmakologi klinikal di Lawson Health Research Institute di London, Ontario.

Contoh kesan pengambilan ubat bersama grapefruitrhabdomyolysis

Sebiji limau gedang atau segelas jus, jika di ambil satu jam sebelum atau selepas ubat di ambil, adalah cukup untuk menghasilkan reaksi kimia. Oleh itu, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor dan semak sekiranya ubat yang anda ambil berada dalam senarai terbaru.


Customer Hotline : 0389273330 / 0389273332 

Monday, April 28, 2014

Apa itu buasir?

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada salur darah vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia meng­ganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah.
Buasir terjadi disebab­kan tekanan dalam darah di bahagian rektum terlalu tinggi, menyebabkan dinding vena meregang atau ‘memberi’ dan membonjol. Kadangkala ia boleh pecah, terutamanya ketika meneran apabila membuang air besar.
Kewujudan tisu buasir adalah satu komponen normal dalam anatomi badan manusia. Ia bertindak sebagai ‘kusyen’ yang kaya dengan saluran darah di dubur dan menjadi ‘pelapik termampat’ untuk membenarkan dubur tertutup de­ngan ketat.
Simptom buasir
Dr Yunus berkata, apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang keras di dalam kolon dengan kuat ketika membuang air besar, struktur terbabit akan membengkak.
Kemudian, ia menjadi kurang memberi dan akhirnya terjulur keluar daripada dubur bersama darah yang berwarna merah cerah yang menitis, tersembur atau meninggalkan kesan apabila dikesat dengan tisu tandas.
Walaupun pendarahan dan sembelit dilihat sebagai gejala utama buasir, namun pendarahan yang berlaku daripada dubur tidak semestinya disebabkan buasir, tetapi boleh menjadi petunjuk kepada pe­nyakit lain yang lebih serius seperti kanser kolorektal.
“Penting bagi individu berkenaan menjalani pemeriksaan di peringkat awal bagi menge­sahkan penyakit dialami dan menjalani rawatan sewajarnya.
“Tetapi biasanya pesakit lambat mendapatkan rawatan dan hanya datang berjumpa doktor selepas masalah mereka menjadi teruk,” kata­nya.
Menurutnya, antara penyebab lazim buasir ialah tidak cukup minum air dan pengambilan makanan yang kurang serat.
Selain itu, terlalu kerap mengangkat barangan berat juga menyebabkan individu berkenaan berisiko tinggi untuk mengalami buasir kerana tekanan dialami di bahagian dubur apabila melakukannya amat tinggi.
“Amalan duduk terlalu lama ketika membuang air besar juga tidak digalakkan dan kebiasaannya individu berkenaan berkemungkinan me­ngalami masalah buasir tahap tiga atau empat untuk jangka masa lama tanpa sebarang rawatan khusus.
“Jangan tahan atau bertang­guh-tangguh untuk buang air besar. Apabila ‘keinginan’ itu datang, segeralah menyahut ‘panggilan’ itu,” katanya.
Ada empat peringkat buasir yang perlu diberi perhatian:
  • Peringkat pertama membabitkan buasir yang mengalami pendarahan, tetapi ia tidak menonjol keluar.
  • Peringkat kedua berlaku apabila buasir menonjol keluar ketika buang air besar, tetapi masuk kembali dengan sendirinya.
  • Peringkat ketiga buasir keluar ketika atau selepas buang air besar dan hanya hilang (masuk kembali) apabila ditekan atau ditolak dari luar.
  • Peringkat keempat (kronik) apabila buasir sentiasa berada di luar hingga menyebabkan ketidakselesaan untuk melakukan aktiviti harian.
“Untuk peringkat paling kronik mungkin pembedahan adalah pilihan terbaik, tetapi kini ada banyak cara boleh dilakukan untuk mengurangkan kesakitan ketika ‘menghilangkan’ buasir serta mempercepatkan penyembuhan.“Buasir mengambil masa yang lama untuk berkembang namun, gejalanya berbeza bergantung kepada peringkat ia berlaku,” katanya.

Punca

  • Sembelit dan meneran berlebihan ketika buang air.
  • Pekerjaan yang membabitkan keadaan duduk atau berdiri dalam masa yang lama.
  • Obesiti, kehamilan dan proses melahirkan anak.
Masalah ini juga berlaku disebabkan faktor gaya hidup atau tabiat pemakanan yang meningkatkan kecenderungan untuk mendapat buasir.Namun, ia boleh dicegah dan gejalanya dapat dikawal jika diurus pada peringkat awal. Walaupun sudah mendapat rawatan, individu berkenaan perlu mengubah gaya hidup untuk mengelakkan masalah berulang.

Rawatan

Antara proses rawatan yang boleh dilakukan ialah:
  • Untuk peringkat awal pemberian ubat melembutkan najis menjadi pilihan.
  • Lingkaran getah (rubber band ligation) bagi peringkat ketiga dan keempat – Bagi buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, rawatan standard boleh dijalankan iaitu mengikat de­ngan lingkaran getah (rubber band ligation).Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir berkenaan. Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman saja. Ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan.
  • Ligasi Arteri Hemoroid (Haemorrhoidal Artery Ligation) – Kaedah ini menggunakan alat yang dikenali sebagai ultrabunyi Doppler bagi mengikat atau jahit saluran darah untuk mengurangkan tekanan pada bahagian berkenaan. Alat ini akan dimasukkan ke dalam dubur dan prosesnya membabitkan bahagian dalam anus yang kurang sensitif.
  • Menggunakan laser – Jarum laser akan dimasukkan dalam buasir yang terkeluar dan proses ini menyebab­kannya mengecut. Buasir mengambil masa dua hingga empat minggu untuk kecut sepenuhnya.Panduan mengelak buasir.
  • Minum air sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari.
  • Kurangkan pengambilan daging merah kerana boleh menyebabkan sembelit.
  • Makan makanan seimbang dengan mengambil makanan yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Kurangkan menikmati makanan segera. Jika makan di luar rumah pilih makanan yang mengandungi serat tinggi dan segar.
  • Elakkan memakan makanan yang boleh me­nyebabkan gangguan pada proses pembuangan air seperti makanan pedas atau berempah.
  • Apabila terdapat gejala tertentu seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur segeralah berjumpa doktor dan jangan tunggu hingga ia melarat.

Friday, July 27, 2012

KESAN DARIPADA KEMOTERAPI


Kesan daripada kemoterapi ialah bergantung kepada jenis kemoterapi yang anda terima. Kesan sampingan adalah kesan sekunder daripada rawatan dan ia boleh berlaku dalam tempoh yang cepat (akut) atau lambat. Kesan sampingan akut boleh berlaku dengan segera semasa rawatan dan kesan sampingan yang lambat atau tertunda mungkin berlaku selepas rawatan diberikan sekian lama atau pun selepas tamat rawatan.

Ubat-ubatan kemoterapi merosakkan sel-sel yang tumbuh dengan cepat. Semasa merosakkan sel kanser, ia juga menyebabkan kerosakan sel-sel yang normal. Disebabkan kerosakan pada sel-sel normal inilah, maka berlakunya kesan sampingan. Harus diingat, setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza-beza terhadap kemoterapi dan ada sesetengah individu yang mungkin tidak mendapat kesan sampingan langsung. Kesan sampingan yang mungkin anda alami akan dibincang terlebih dahulu sebelum anda mendapat rawatan.

Kebanyakan kesan sampingan yang berlaku boleh dirawat , jadi pastikan anda sentiasa memberitahu doktor atau jururawat yang bertugas jika anda berasa tidak sihat semasa menerima rawatan. Penting untuk anda mengekalkan keyakinan dan kesihatan sebaik mungkin semasa rawatan. Biasanya, kesan sampingan hanya berlaku untuk sementara waktu dan akan hilang selepas rawatan anda selesai.

Ada juga beberapa kesan sampingan yang perlu dirawat dengan segera dan adalah penting untuk anda agar tidak menunggu lama untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Jika anda berasa tidak pasti sama ada gejala yang ditunjukkan memerlukan rawatan segera atau tidak, hubungi hospital atau klinik yang berdekatan bagi mendapatkan nasihat.

Hubungi segera pihak hospital jika anda mendapat sebarang gejala berikut:

  • suhu 38ÂșC atau lebih
  • menggigil yang teruk dan berulang-ulang
  • gejala seperti selsema
  • pendarahan pada gusi atau hidung (walaupun setelah diberi tekanan selama 10minit)
  • ulser pada mulut yang menghalang anda daripada makan dan minum.
  • muntah yang berterusan
  • cirit-birit yang berpanjangan.
  • kesukaran untuk bernafas.
Berikut adalah beberapa kesan yang biasa berlaku apabila anda menerima ubat-ubatan anti kanser.


KESAN PADA DARAH
Sesetengah ubat-ubatan kemoterapi boleh mengurangkan kadar penghasilan sel darah anda buat sementara waktu. Satu ujian darah akan dilakukan pada permulaan terapi dan setiap kali sebelum sesi rawatan. Ini bagi memastikan yang paras darah anda adalah pada tahap yang memuaskan sebelum anda menerima kemoterapi. Kesan utama kemoterapi pada sel darah anda adalah :

  • Jangkitan
  • Anemia
  • Bengkak/Lebam

Kesan sampingan / Punca
Gejala yang ditunjukkan
Tindakan yang perlu dibuat
Rawatan yang dicadangkan
Jangkitan (akibat pengurangan sel darah putih
  • suhu badan yang tinggi
  • menggigil/gejala seperti selsema
  • sakit tekak atau batuk
  • ruam
  • demam
  • periksa suhu badan jika anda berasa tidak sihat
  • elakkan daripada melukakan kulit anda
  • rawatan antibiotik
  • pemberian faktor pertumbuhan seperti G-CSF.
Anemia (kekurangan sel darah merah /hemoglobin)
  • keletihan
  • kesukaran untuk bernafas
  • makan makanan yang kaya dengan zat besi seperti hati, ikan dan telur.
  • tranfusi darah
  • pemberian eritropoietin atau EPO.
Bengkak/ Lebam (kekurangan bilangan platlet)
  • pendarahan hidung/gusi.
  • bintik-bintik kecil berwarna merah-unggu dalam kumpulan pada kulit
  • elakkan mengambil ubat seperti aspirin.
  • gunakan berus gigi yang lembut.
  • berhati-hati agar tidak melukakan diri.
  • transfusi platlet.
  • panjangkan tempoh rehat.
  • mengubah dos ubat.
 
KESAN PADA SISTEM PENGHADAMAN
Sesetengah ubat-ubatan anti-kanser boleh memberi kesan pada permukaan sistem penghadaman anda yang menyebabkan kesan-kesan yang berikut:

  • sakit mulut
  • perubahan rasa
  • mual dan muntah
  • perubahan selera
  • cirit-birit atau sembelit
Agen-agen yang biasa dikaitkan dengan kesan ini antaranya ialah fluorouracil, doxorubicin dan methotrexate.


Kesan sampingan/ punca
Gejala yang ditunjukkan
Tindakan yang perlu
Rawatan yang dicadangkan
Sakit mulut
  • mulut dan tekak berasa kering.
  •  sakit pada mulut dan tekak.
  • pendarahan pada gusi, mulut atau tekak.
  • minum lebih air.
  • selalu bilas mulut dengan ubat kumur atau air garam.
  • bersihkan gigi selalu.
  • pastikan bibir anda sentiasa lembab.
  • rawatan dengan analgesik topikal seperti lidocaine.
Perubahan rasa
  • perubahan pada rasa makanan dan minuman.
  • hisap gula-gula yang berperisa kuat.
Mual dan muntah
  • rasa mual
  • muntah-muntah
  • rawatan dengan ubat-ubatan anti-mual/muntah.
Perubahan selera
  • hilang selera makan.
  • minum lebih air.
  • makan lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang kecil.
Sembelit atau cirit-birit
  • kerap/kurang membuang air besar.
  • tidak dapat mengawal pembuangan najis.
  • Minum lebih air.
  • Makan lebih makanan berserat.
  • rawatan dengan ubat-ubatan.
 
KESAN PADA RAMBUT
Keguguran rambut adalah kesan sampingan yang biasa berlaku akibat kemoterapi. Tetapi, tidak semua ubat-ubatan anti kanser akan menyebabkan keguguran rambut yang teruk. Sesetengah drug cuma menyebabkan penipisan dan kerosakan sedikit  pada rambut sahaja.

Keguguran rambut kadang-kala boleh menyebabkan tekanan pada sesetengah pesakit, walau bagaimana pun, ia biasanya berlaku hanya untuk sementara waktu sahaja dan rambut anda akan tumbuh semula selepas tamat rawatan.

Kesan sampingan /punca
Gejala yang di tunjukkan.
Tindakan yang perlu
Keguguran rambut
  • keguguran rambut sepenuhnya
  • penipisan lapisan ramput
  • rambut menjadi rapuh dan mudah rosak.
  • gunakan syampu pada pH neutral dan perapi.
  • Kurangkan aktiviti pembasuhan rambut.
  • Elakkan dari menggunakan bahan kimia seperti pewarna rambut atau meluruskan rambut.
  • Gunakan scalp tourniquet atau rawatan cryotherapy .
 
KESAN PADA KULIT
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser boleh menyebabkan tangan dan kaki anda berasa kering dan sakit. Ada juga ubat yang boleh menyebabkan kuku anda menjadi gelap daripada biasa dan mempunyai garis-garis putih.

Semasa rawatan dan mungkin beberapa bulan selepas itu, kulit anda akan menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan mudah terbakar.

Kesan sampingan/punca
Gejala yang di tunjukkan.
Tindakan yang perlu
Perubahan kulit
  • tangan dan kaki menjadi kering dan sakit.
  • kuku menjadi gelap daripada biasa.
  • kuku menjadi ridges dan bergaris-garis putih.
  • gunakan pelembab seperti krim akues pada kulit yang kering.
  • lindungi kulit anda daripada cahaya matahari.
 
KESAN PADA KESUBURAN
Ada di antara ubat-ubatan kemoterapi yang boleh merosakkan ovari atau testis, menyebabkan peningkatan risiko berlakunya ketidaksuburan/kemandulan dan bagi wanita, menopause yang awal.

Kemoterapi boleh mempengaruhi organ seksual dan fungsinya dalam pelbagai cara. Anda mungkin mengalami perubahan terhadap keinginan seksual atau juga mungkin tiada perubahan yang berlaku.

Hilang keinginan seksual merupakan perkara biasa berlaku sama ada pada pesakit lelaki atau perempuan. Namun begitu, kemoterapi sendiri biasanya tidak mempengaruhi keupayaan seksual atau menyebabkan mati pucuk. Tekanan akibat penyakit atau jadual rawatan mungkin yang menyebabkan anda berasa penat daripada hari-hari biasa.



Kesan sampingan/punca
Gejala yang di tunjukkan.
Tindakan yang perlu
Perubahan pada kesuburan
  • menopause lebih awal (wanita)
  • kemandulan (lelaki & wanita)
  •  sesetengah drug boleh menyebabkan kerosakan pada perkembangan DNA janin.
Lelaki
  • bank sperma (jika perlu)
Wanita
  • pembekuan embrio
  • pembekuan telur
  • pembekuan tisu ovari
  • ubat untuk melindungi ovari
Lelaki & wanita
  • gunakan kaedah kontraseptif yang berkesan.

LAIN-LAIN KESAN
Sesetengah ubat-ubatan kemoterapi mungkin atau jarang sekali memberikan kesan-kesan seperti berikut:
a) Mata
Mata anda akan menjadi kering, sakit dan berair.

b) Pendengaran
Ada ubat-ubatan kemoterapi yang boleh menyebabkan tinnitus ( bunyi berdengung di dalam telinga) atau hilang pendengaran pada frekuensi yang tinggi.

c) Sistem Saraf
Ada juga yang menyebabkan masalah pada saraf dalam badan yang disebut sebagai neuropati periferal. Ia boleh menyebabkan rasa seperti kebas, terbakar atau mencucuk pada tangan dan/atau kaki.

d) Paru-paru
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser seperti bleomycin boleh mempengaruhi tisu paru-paru anda. Kesan ini adalah serius dan memerlukan rawatan yang khas. Oleh itu, segera laporkan pada doktor, jika anda mengalami batuk-batuk dan kesukaran bernafas.

e) Otot Jantung
Kesan ini jarang-jarang berlaku tetapi secara kebetulan akan terjadi dengan penggunaan yang berpanjangan ubat anti kanser tertentu terutamanya doxorubicin dan epirubicin. Maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai sejarah masalah jantung dan jika anda mendapat sakit dada atau kesukaran bernafas semasa rawatan.

f) Pundi Kencing
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser boleh menyebabkan perubahan warna pada air kencing anda selepas mendapat rawatan. Sebagai contoh, air kencing anda akan bertukar menjadi warna merah jingga atau merah sehingga 24 jam selepas setiap rawatan.

Kadang kala, ada ubat yang menyebabkan iritasi pada pundi kencing kerana ia dikeluarkan melalui air kencing. Oleh itu, anda perlu minum lebih banyak air dalam tempoh 24 jam selepas suntikan.

Selain daripada kesan-kesan yang telah dibincangkan, anda juga boleh membuat aduan atau memberitahu doktor atau jururawat yang bertugas tentang sebarang kesan yang berlaku. Jika anda mengalami sesuatu yang luar biasa , hubungi segera hospital untuk mendapatkan nasihat. Lebih cepat anda berbuat demikian, lebih cepat tindakan dapat diambil dan membantu menenangkan anda. Jika tidak, anda mungkin terlewat untuk mendapat rawatan.



sumber

Thursday, May 31, 2012

Asma atau Lelah - Penyebab, Tahap Keterukkan dan Faktor Risiko

Asma adalah sejenis penyakit saluran penafasan yang kronik yang melibatkan saluran udara yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Ia menyebabkan kekejangan dada dan sesak nafas yang dikenali sebagai 'serangan atau episod asma'. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Bagi penyakit asma, saluran udara yang mengalami keradangan adalah sangat sensitif bila terdedah kepada pelbagai ransangan atau "pencetus". Ia akan menjadi sempit, menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis asma: asma alahan dan bukan alahan. Seseorang itu berkemungkinan untuk mempunyai kedua-dua jenis asma ini.

Keterukan Asma:
  • Bagi serangan yang ringan dan berterusan, gejalanya muncul lebih dari dua kali dalam seminggu, tetapi bukan setiap hari
  • Bagi serangan yang sederhana, individu yang terlibat akan mengalami gejala asma setiap hari.
  • Bagi serangan yang teruk, pesakit mempamerkan gejala yang berterusan dan kerap.
Penyebab
  • Asma alahan disebabkan oleh alergen (pencetus alergi). Alergen ini biasanya mencetus gejala asma sewaktu penghidap asma bernafas. Saluran udara yang begitu sensitif akan mengalami pencerutan apabila alergen memasuki sistem penafasan melalui hidung.
  • Debunga, kulat dan hama adalah di antara alergen yang selalu hadir di udara. Kadangkala seseorang yang alah atau alergik boleh mendapat serangan asma apabila tertelan alergen. Contohnya seperti perisa makanan dan ubat-ubatan.
  • Untuk asma yang bukan alahan, pencetusnya tidak ada kaitannya dengan alahan tetapi masih mampu menimbulkan perubahan pada laluan udara sebagaimana tindakan alergen.
  • Contoh-contoh pencetus bukan alergen ialah:
Agen Bawaan Udara - sebatian yang bercampur dengan udara seperti wasap dan wap dan asap. Agen atau bahan yang yang boleh mencetus gejala asma ini boleh wujud di dalam dan di luar rumah. Satu contoh bahan yang boleh wujud di luar rumah ialah gas karbon monoksida dari asap kenderaan. Contoh-contoh bahan bawaan udara yang wujud di dalam rumah termasuklah asap dari dapur dan wap dari cat aerosol.

Jangkitan pada sistem penafasan - terutamanya demam dan selsema. Kuman-kuman virus akan menyerang pengalas saluran udara dengan merangsang hujungan saraf menyebabkan otot yang menyelaputi saluran udara semakin tercerut. Senaman dan juga lain-lain aktiviti fizikal mampu menyebabkan pesakit asma terpaksa bernafas dengan lebih cepat. Sesetengah individu menghidap asma yang teraruh oleh senaman. Ini bermaksud, mereka hanya mengalami gejala asma ketika bersenam.
   
  • Udara yang sejuk atau perubahan cuaca boleh mencetus asma kerana otot di sekitar saluran udara akan mengalami pencerutan sebagai tindakbalas terhadap suhu udara.
  • Emosi dan stres juga mampu mempengaruhi kekerapan dan keterukan asma. Desakan udara yang melalui saluran udara ketika marah dan resah mampu mencetuskan asma.
Faktor - Faktor Risiko
Faktor-faktor risiko asma adalah terdiri daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara. Bagi mereka yang mengalami keradangan saluran udara sangat sensitif terhadap pencetus asma.

Pencemaran udara
Mereka yang mudah terdedah kepada pencemaran udara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang tinggal di kawasan bandar, tinggal bersama-sama perokok dan yang bekerja di persekitaran yang tercemar. Udara yang tercemar mengandungi pelbagai pencetus asma seperti asap dan wasap. Biasanya, ibubapa yang mengidap Asma mempunyai 6 kali ganda risiko untuk memperolehi anak yang menghidap asma.

Bayi pra matang
Bayi pramatang juga memiliki risiko yang tinggi untuk menghidap Asma apabila umur mereka meningkat kelak. Ini kerana, sewaktu mereka dilahirkan, sistem respirasi mereka masih belum matang dan masih belum mampu berfungsi sepenuhnya. Golongan ini mudah menghidap Asma kerana mereka menghadapi masalah untuk menyedut dan menghembus udara keluar dari paru-paru.

Merokok
Rokok mengandungi asap tembakau. Asap tembakau mengandungi pelbagai sebatian kimia yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran udara dan seterusnya menyebabkan asma.


Asthma is a common chronic inflammatory disease of the airways characterized by variable and recurring symptoms, reversible airflow obstruction, and bronchospasm. Symptoms include wheezing, coughing, chest tightness, and shortness of breath. Treatment of acute symptoms is usually with an inhaled short-acting beta-2 agonist (such as salbutamol). Symptoms can be prevented by avoiding triggers, such as allergens and irritants, and by inhaling corticosteroids.Leukotriene antagonists are less effective than corticosteroids and thus less preferred.The prevalence of asthma has increased significantly since the 1970s. As of 2009, 300 million people were affected worldwide. In 2009 asthma caused 250,000 deaths globally. Despite this, with proper control of asthma with step down therapy, prognosis is generally good.

sumber : http://sakitrawat.blogspot.com/

Thursday, December 15, 2011

Pap Smear: Pertahanan Terbaik melawan Kanser Serviks

Picture 1

Pap Smear: Bukan Main-main

Pap smear merupakan pemeriksaan penting yang diketahui ramai, bukan terhad kepada wanita sahaja malahan lelaki. Ayah dan teman lelaki kamu pun mungkin pernah dengar mengenainya. Ia satu ujian yang digunakan untuk mengesan sebarng keabnormalan dalam serviks wanita. Mak dan kakak kamu mungkin pernah melakukan Pap smear sekurang-kurangnya sekali.

Pap smear sebenarnya kependekan untuk Papanicolau smear. Ia merupakan ujian saringan yang digunakan untuk memeriksa sebarang perubahan dalam serviks wanita. Kamu masih ingatkan, yang serviks tu struktur berbonjol daripada uterus yang menampung bayi semasa dalam kandungan. Inilah bahagian uterus yang membuka kepada vagina. Serviks melalui perubahan semasa kitaran haid wanita dan semasa mengandung.

Pap smear dijalankan oleh doktor pakar ataupun pakar sakit puan. Sampel lelehan serviks atau mukus daripada serviks diambil dengan memasukkan putik kapas dan memusingkannya pada permukaan serviks. Sampel kemudiannya disapukan pada slaid dan dilihat di bawah peralatan sains yang dipanggil mikroskop. Mikroskop membolehkan pemeriksa untuk melihat komponen-komponen lelehan. Pap smear digunakan untuk mengesan kanser serviks atau sebarang jangkitan yang terdapat semasa pemeriksaan.

Berapa kerapkah harus saya jalani Pap smear?

Pap smear merupakan ujian saringan yang digunakan untuk memeriksa penyakit di serviks wanita yang tidak mempunyai sejarah penyakit serviks seperti kanser 

serviks.Terdapat beberapa panduan yang digunakan oleh doktor apabila menjalani Pap smear. Pap smear pertama biasanya dilakukan tiga tahun selepas persetubuhan pertama kali dilakukan. Sesetengah panduan mengesyorkan menjalani Pap smear setiap 2 hingga 3 tahun sementara ada yang mengesyorkan pemeriksaan Pap smear untuk wanita yang aktif melakukan hubungan seks, setiap tahun sehinggalah mencecah umur 30.

Apakah Pap smear yang tidak normal?

Apabila menjalani Pap smear, pemeriksa biasanya akan memeriksa sel-sel luar biasa. Sel-sel luar biasa akan kelihatan lain daripada sel biasa. Ia mungkin mempunyai warna berlainan apabila dicampurkan dengan pewarna tertentu dan mungkin mempunyai saiz dan bentuk yang pelik. Kehadiran sel luar biasa mungkin menunjukkan berlakunya kanser serviks atau terdapatnya jangkitan. Sebelum kamu jadi lebih risau, lebih baik kamu tahu yang tak semua keputusan abnormal Pap smear bermaksud terdapatnya kanser serviks. 

Keputusan Abnormal Pap Smear

Hasil ujian Pap smear mungkin mengandungi banyak istilah perubatan yang menakutkan kamu. Berikut merupakan beberapa istilah yang biasa dan maksudnya:
  • Sel Skuamus Atipikal. Ini bermakna yang sel abnormal mungkin kelihatan semasa Pap smear yang mungkin disebabkan oleh jangkitan. Sel-sel ini juga mungkin berkembang menjadi kanser.
  • Displasia. Ini bermakna yang sel abnormal mungkin kelihatan semasa Pap smear. Displasia bukannya kanser. Walau bagaimanapun, dysplasia mungkin, tapi tak semestinya berkembang menjadi kanser serviks
Jenis-jenis Displasia
  • SIL. Squamous Intraepithelial Lesion. Ini bermakna yang sel leper nipis di permukaan luar serviks kamu dikesan tidak normal. Seperti dysplasia, SIL terutamanya yang berbentuk parah mungkin berkembang menjadi kanser serviks peringkat awal.
  • CIN. Cervical Intraepithelial Neoplasia. Ini bermakna terdapat pertumbuhan tidak normal pada serviks. Perubahan tidak normal ini hanya berlaku pada permukaan paling luar serviks.
  • Carcinoma in situ (CIS).Ini bukannya kanser serviks. Ini merupakan salah satu bentuk SIL yang memberitahu kamu yang sel yang berkemungkinan berkembang menjadi kanser adalah terhad pada permukaan serviks dan belum masuk ke lapisan yang dalam.
Ambil Perhatian: Pap Smear Tidak Normal!!!

Apabila Pap smear menunjukkan keputusan tidak normal, doktor kamu mungkin melakukan perkara-perkara berikut:
  • Mengulangi pemeriksaan Pap smear
  • Memberi ubat seperti Krim Estrogen. Keabnormalan dalam serviks mungkin biasa semasa menopaus apabila hormon seks seperti estrogen mengurang. Sekiranya estrogen rendah yang menyebabkan keabnormalan dalam serviks, hasil pemeriksaan sepatutnya semakin positif selepas menggunakan krim estrogen.
  • Melakukan kolposkopi. Apabila melakukan kolposkopi, doktor kamu akan menggunakan peralatan yang dipanggil kolposkop untuk memeriksa serviks. Semasa prosedur ini, doktor akan menyapu larutan cuka lembut pada permukaan serviks. Kawasan yang bertukar menjadi putih selepas penyapuan larutan tersebut akan dianggap sebagai tidak normal.
  • Melakukan biopsi dengan mengambil sebahagian kecil permukaan serviks dan menghantarnya ke makmal untuk ujian. Melalui biopsy, doktor kamu boleh menentukan sama ada terdapat keabnormalan yang dijumpa semasa Pap smear atau kolposkopi adalah disebabkan kanser ataupun tidak.
Picture 2
Kanser Serviks

Kanser serviks menunjukkan pertumbuhan keabnormalan dalam serviks. Serviks merupakan bahagian bawah uterus. Ia merupakan struktur berbentuk bonjol dengan permukaan yang kaya dengan sel. Sel ini mungkin menjadi kanser apabila terdedah kepada organisma tertentu seperti Human Papilloma Virus (HPV), menghisap rokok dan jangkitan kelamin.

Meningkatkan Risiko Kanser Serviks

Berikut merupakan antara faktor yang dikatakan boleh meningkatkan peluang wanita mendapat kanser serviks:
  • Jangkitan Human Papilloma Virus. Jangkitan HPV merupakan penyebab paling umum kanser serviks. Virus yang menyebabkan kanser serviks tergolong dalam keluarga virus yang sama yang menyebabkan ketuat genital. Seks tanpa perlindungan mungkin meningkatkan peluang menyebabkan jangkitan HPV kerana seseorang itu mungkin mendapat jangkitan akibat sentuhan dengan kulit yang dijangkiti. Kebanyakan wanita boleh dijangkiti oleh virus tapi tak semua akan berkembang menjadi kanser serviks. Ujian Pap smear boleh menunjukkan terdapatnya jangkitan HPV.
  • Melakukan seks ketika masih muda.
  • Bertukar-tukar pasangan atau mempunyai pasangan yang kerap bertukar-tukar pasangan.
  • Genetik. Sekiranya ahli keluarga atau ada saudara kamu yang mempunyai kanser serviks, kamu mungkin mempunyai risiko mendapat kanser tersebut.
  • Merokok. Ada juga kehamilan dan kelahiran bayi yang boleh meningkatkan peluang mendapat kanser serviks. Kurang jelas kenapa ia berlaku.
  • Kehamilan. Ada juga kehamilan dan kelahiran bayi yang boleh meningkatkan peluang mendapat kanser serviks. Kurang jelas kenapa ia berlaku.
  • Penyakit Jangkitan Kelamin(STI). Terdapat perkaitan rapat antara beberapa jenis STI dan perkembangan kanser serviks.
  • Sistem Imun Lemah. Stres dan diet yang keterlaluan mungkin melemahkan sistem imun kamu. Sesetengah wanita, walau dijangkiti HPV, mungkin tidak mendapat kanser serviks kerana pertahanan tubuh mereka, sistem imun lah tu, kuat untuk melawan jangkitan. Apabila sistem imun semakin lemah, seorang wanita mempunyai kemungkinan mendapat kanser serviks.
  • Diet. Diet yang kurang dengan sayur dan buah mungkin menyebabkan kamu tak cukup zat. Jadi lemahlah sistem imun kamu!
Mencegah Kanser Serviks (Barah Pangkal Rahim)

Sentiasa berjaga-jaga dan melindungi diri anda sepenuhnya, pasti merupakan salah satu cara terbaik. Berikut merupakan cadangan yang boleh kamu buat untuk mengelakkan kanser yang menakutkan tu.
  • Pakai perlindungan ketika melakukan seks.
  • Elakkan melakukan seks ketika masih muda.
  • Berhenti merokok.
  • Makan banyak buah-buahan dan sayur. Kekal cergas!
  • Jalani pemeriksaan Pap smear.
  • Dapatkan suntikan vaksin. Vaksin yang digunakan untuk mencegah kanser servik ada di pasaran. Ia mungkin sedikit mahal, tetapi budak perempuan seawal umur 9 tahun sudah boleh mendapatkan vaksin tersebut. Tanyalah pada doktor kamu mengenainya.
 sumber : http://www.kotex.com.my/body-and-you-kesihatan/vagina/kanser-PAP-smear.aspx