Apricon Farmas Health: Diagnosis Apricon Farmas Health

Followers

Showing posts with label Diagnosis. Show all posts
Showing posts with label Diagnosis. Show all posts

Monday, October 13, 2014

Kanser Ovari

Pengenalan

Kanser ovari merupakan kanser yang timbul daripada ovari , iaini sepasang organ yang menghasilkan benih dan hormon wanita. Ia biasanya berlaku di kalangan wanita berusia 40-an ke atas dan memuncak di kalangan umur 55 ke 60 tahun tetapi ia juga boleh berlaku di kalangan wanita remajakurang dan pada 20 tahun. Kebanyakan kanser ovari merupakan kanser yang timbul daripada permukaan ovari (epithelial cancer) dan sebahagian kecil berasal daripada sel-sel benih telur (germ cell cancer).Kanser ovari lambat dapat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim). Ini menjadikan proses saringan (screening) tidak dapat dilakukan. Kanser ovari cenderung berlaku kepada wanita yang mempunyai ibu atau adik-beradik yang menghidapi kanser tersebut. Ia juga cenderung berlaku di kalangan wanita yang mencapai akil baligh awal dan lewat menopos serta wanita yang tidak pernah hamil (ovari direhatkan semasa kehamilan). Selain daripada itu wanita yang hamil pada usia lewat serta wanita yang mempunyai kumpulan darah 'A' juga dikaitkan dengan kanser ovari.

Penyebab Kanser Ovari
Tiada siapa yang tahu apa punca sebenar kanser ovari. Sejak dahulu lagi penggunaan bedak (talcum powder) yang disapu pada kemaluan wanita sering dikaitkan dengan kanser ovari. Ini timbul daripada kajian yang dibuat di Afrika Selatan. Bedak yang digunakan tersebut sebenarnya mengandungi kandungan asbestos yang tinggi. Bedak-bedak yang ada pada masa ini tidak lagi mengandungi asbestos, maka ianya selamat digunakan. Faktor jangkitan virus yang berkemungkinan menyebabkan kanser ovari ada juga dikaji. Walau bagaimanapun tiada hubung kait nyata yang dapat dikesan antara jangkitan virus dan kanser ovari.
Gejala / Tanda Kanser Ovari
Kanser ovari biasanya tidak mempunyai sebarang gejala yang spesifik pada peringkat awal. Kebanyakan wanita mempunyai rasa kembung perut, ada juga yang mengalami cirit ataupun sembelit. Selalunya keadaan ini disangkakan adalah kerana masalah usus dan tidak diberi perhatian yang wajar. Bengkak di perut pada peringkat awal biasanya disangkakan adalah pertambahan berat badan yang biasa. Sakit yang kuat adalah sangat jarang, kecuali terdapat ketumbuhan ovari yang terpulas atau berlaku perdarahan di dalam ovari tersebut. Ada juga pesakit yang perutnya membesar/membusung kerana cecair (ascites) yang dihasilkan oleh kanser ovari. Cecair ini membuatkan perut pesakit menegang dan besar. Selalunya kanser ovari sudah pun merebak ketika ianya diketahui.
Cara Mengesan Kanser Ovari
Banyak kajian telah dibuat bagi mengenal pasti kaedah menyaring kanser ovari. Ada yang menggunakan ujian darah seperti antigen tumor CA125, antigen carcinoembrionic (CEA), alfafetoprotein (AFP) dan beta HCG. Ada juga yang menggunakan imbasan ultrasound secara berkala. Ada yang sanggup menjalani pembedahan membuang organ ovari itu sendiri. Namun tiada satu kaedah pun yang menjadi kaedah saringan yang berkesan dan ekonomikal. Hanya tiga kumpulan utama yang diberikan keutamaan dan galakkan untuk menjalani saringan kanser ovari iaitu mereka yang mempunyai keluarga terdekat yang menghidap kanser ovari, mereka yang membawa gen BRCA1 dan BRCA2 (berisiko tinggi terhadap kanser ovari dan payudara) serta mereka yang mempunyai keluarga terdekat menghidapi kanser usus besar, kanser rahim dan kanser payudara. Sekurang-kurangnya ujian darah patut dijalankan ke atas tiga kumpulan ini.
Kanser ovari juga boleh berlaku dalam saiz yang kecil

Kanser yang tumbuh pada kedua-dua belah ovari
 Diagnosis
Diagnosis dibuat dengan membuat pemeriksaan pesakit serta beberapa ujian yang mudah.
Secara klinikal pemeriksaan pesakit akan memberi jumpaan terhadap ketumbuhan yang keras di dalam pelvis atau kadang-kadang ketumbuhan berupa sista (cyst) air atau campuran cecair dan ketumbuhan yang keras.
Secara radiologikal selalunya menggunakan ultrasound. Saiz ketumbuhan ciri-ciri tertentu dapat membantu doktor untuk mengenalpasti adakah ketumbuhan itu normal atau tidak.
Secara ujian makmal ujian tumor antigen CA125 boleh dijalankan. Ianya merupakan sejenis protin yang dihasilkan oleh kanser ovari. Malangnya protein CA125 ini juga dihasilkan juga oleh keadaan lain seperti endometriosis, fibroid serta keadaan radang pada dinding peritoneum. Bezanya adalah pada keadaan kanser ovari bacaannya selalu sangat tinggi kadang-kadang menghampiri atau jauh melebihi 1000 iu.
Secara pembedahan merupakan kaedah yang paling tepat untuk membuat diagnosis kanser ovari. Ianya hanya akan dilakuakn setelah ujian-ujian di atas dilakukan serta pesakit sudah dipastikan dalam keadaan optimum untuk menjalani pembedahan. Tahap penyakit (staging) akan dibuat semasa pembedahan serta ketumbuhan akan dibuang sebanyak yang mungkin. Ketentuan tahap penyakit (staging) adalah berlandaskan The International Federation Of Gynaecology and Obstetrics (FIGO).
Kanser ovari selepas dibedah.

Kanser ovari yang baru dibedah keluar

Cara Kanser Ovari Merebak
Kanser ovari boleh merebak keseluruh ruang peritoneum (ruang antara pelvis ke dasar paru-paru). Ianya merebak mengikut aliran cecair peritoneum. Perebakan juga selalu berlaku mengikut sesalur limfa. Kira-kira 60 ke 70 peratus kanser tahap III akan mempunyai perebakan hingga ke kelenjar pelvis dan para-aortik. Perebakan melalui aliran darah adalah sangat jarang. Walau bagaimanapun ianya boleh berlaku pada peringkat lewat, terutamanya setelah pesakit menjalani pelbagai rawatan. Perebakan ini boleh menular ke tulang belakang, otak dan paru-paru. Sokongan Emosi Selain daripada kesihatan fizikal, kesihatan dari segi psikologi hendaklah juga dititik beratkan. Ahli keluarga serta pasangan masing-masing hendaklah dibawa berbincang tentang kaedah rawatan serta sokongan moral yang perlu diberikan.
Rawatan
Rawatan kanser ovari umumnya memerlukan pembedahan membuang ketumbuhan kanser ovari serta ovari yang sebelah lagi, rahim dan lapisan lemak dalam perut (omenta). Lain-lain organ yang di jangkiti kanser seperti usus akan di bedah jika perlu. Ini diikuti pula dengan rawatan kemoterapi. Sebaik sahaja diagnosis kanser ovari dibuat, pesakit hendaklah dioptimakan bagi menjalani pembedahan secepat mungkin. Pembedahan adalah langkah yang pertama dan paling penting untuk memastikan (confirm) diagnosis, mengetahui tahap penyakit (staging) serta membuang sebanyak mungkin ketumbuhan yang nampak dengan nyata. Di akhir pembedahan diharapkan sebanyak mungkin tisu-tisu kanser dapat dibuang dan tidak lebih daripada 1 cm sahaja tisu yang tertinggal. Langkah-langkah rawatan susulan (follow-up) serta rawatan lanjutan seperti kemoterapi atau radioterapi hendaklah diatur dengan cepat. Sekiranya rawatan kemoterapi diberi dengan lewat ada kemungkinan sel-sel kanser boleh tumbuh kembali.
Untuk wanita yang masih remaja atau masih inginkan mendapat anak, jenis pembedahan mungkin berbeza dary yang tersebut di atas. Rahim dan ovari sebelah yang pecah tersbut mungkin tidak perlu di buang.
Kanser ovari yang besar dikeluarkan semasa pembedahan laparotomi.

Kanser ovari yang baru dibedah.

Pembedahan laparotami untuk membuang kanser ovari.

Rawatan Kemoterapi
Setelah selesai menjalani pembedahan, pesakit akan diberikan suntikan ubat kemoterapi. Tujuan ubat ini diberi adalah untuk membunuh sel-sel kanser ovari yang masih tertinggal di dalam tubuh pesakit. Rawatan kemoterapi sudah wujud sejak lebih 30 tahun yang lalu. Kemoterapi boleh juga diberi sebelum pembedahan. Agen-agen yang terkini adalah dari kumpulan taxane seperti paclitaxel dan docetaxel dan kumpulan platinum seperti cisplatinum dan carboplatin. Karboplatin, analog cisplatinum banyak di gunakan sekarang kerana kesan sampingannya yang sangat kurang tanpa menjejaskan hasil rawatan. Lain-lain agen adalah siklophosphamid, etoposide, adriamycin (CAP), 5 flourouracil dan lain-lain. Kemoterapi boleh di beri secara single agen atau secara multi agen (campuran). Campuran agen-agen kemoterapi selalunya di gunakan untuk kes kanser agresif, tahap yang lanjut (advanced), tiada response kepada platinum atau untuk kumpulan kes kanser yang berulang.
Rawatan Radioterapi
Rawatan radioterapi ada digunakan bagi merawat kanser ovari jenis sel-sel germa (germ cell) di peringkat awal. Tetapi ia tidak digunakan dengan meluas dalam kanser ovari yang lain kerana kurang berkesan serta kesan sampingan yang teruk, merosakkan organ-organ penting seperti hati, buah pinggang serta usus kecil dan usus besar.
Pertubuhan Sokongan
Rawatan penyakit kanser selalunya memerlukan kos yang tinggi. Bagi pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan biasanya mereka akan dirujuk kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Wednesday, June 5, 2013

Punca Sakit Belakang

BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.

Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.


Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.

Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.

Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.

Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.

Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.

Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.

Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.

Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi - terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.

Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.

Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.

“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.

“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:
  • Obesiti
  • Merokok
  • Tekanan
  • Keadaan fizikal tidak elok
  • Postur badan yang salah
  • Posisi tidur tidak elok
  • Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur

    Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

    Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur.

    Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

    Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).

    Diagnosis dan rawatan
    Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

    Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

    “Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.

    “Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.

    “Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

    Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

    “Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.

    Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

    Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

    Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

    Pencegahan
    Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:
  • Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.

    Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.

    Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
  • Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.

    Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
  • Amalkan prinsip ergonomik - sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.

    “Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.
  • Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
  • Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.
  • Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.

    Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang - semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.

    “Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan,” katanya.