Apricon Farmas Health: Dos berlebihan bawa maut Apricon Farmas Health

Followers

Monday, September 8, 2014

Dos berlebihan bawa maut


MASIH segar dalam ingatan saat Malaysia dikejutkan dengan insiden pengambilan dadah secara berlebihan yang meragut nyawa enam orang anak muda pada konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Mac lalu.
Hari ini, Hari Kesedaran Overdos Sedunia akan diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan menghapuskan stigma berkaitan kematian akibat pengambilan bahan terlarang itu secara berlebihan.
Bersempena acara tersebut, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menerusi projek Tindakan Komuniti HIV/AIDS Antarabangsa mengenai Pengurangan Kemudaratan (CAHR) akan menjalankan beberapa aktiviti bagi memperingati mereka yang telah meninggal dunia ataupun mengalami kecederaan kekal akibat dos berlebihan.
Aktiviti itu antara lain berkongsi maklumat berkaitan risiko dan cara-cara pencegahan serta rawatan membabitkan kes-kes pengambilan dadah secara berlebihan.
Ketua Unit Ketagihan, Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norliza Chemi berkata, penggunaan dadah pada dos tinggi boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk.
Ia bergantung kepada beberapa faktor utama seperti biologi individu, jenis dadah yang digunakan, cara penggunaan dadah serta penggunaan lebih daripada satu jenis dadah.

Punca
“Faktor biologi individu yang dimaksudkan termasuklah umur, jantina dan tahap kesihatan.
“Bagi mereka yang mempunyai masalah ketagihan dadah atau telah menggunakan dadah untuk tempoh yang lama, mereka akan hanya mengalami dos berlebihan jika mengambil dadah dalam jumlah yang lebih tinggi daripada biasa. Selain itu, ia juga boleh terjadi jika penagih mengambil beberapa jenis dadah yang dicampuradukkan secara serentak.
“Namun, bagi individu yang tidak pernah menggunakan dadah, jumlah yang kecil sahaja sudah cukup untuk membuatkan mereka mengalami dos berlebihan,” jelas beliau.
Tambah Norliza, penggunaan dadah jenis opiate yang telah dicampur dengan ubat tidur boleh meninggalkan kesan negatif terhadap sistem saraf yang mengawal pusat pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas malah mengalami koma.
Sementara itu, dadah jenis stimulan (perangsang) seperti pil kuda, ice, dan meth dapat menyebabkan serangan jantung secara mengejut seperti yang berlaku semasa konsert FMFA.
Membincangkan rawatan dos berlebihan, dadah jenis opiate dirawat dengan menggunakan naloxone sebagai antidot atau rawatan revert yang biasanya disediakan dalam setiap kereta ambulans dan wad kecemasan. Mereka dapat diselamatkan jika rawatan segera diberikan.
Cegah
“Namun, kes dos berlebihan stimulan seperti ice, mepodrone (tragedi FMFA), dan dadah rekreasi baharu yang lain agak sukar dirawat kerana masih tiada antidot.
“Tanda seseorang mengalami dos berlebihan ialah bibir dan hujung jari kebiru-biruan, muka pucat manakala badan lesu dan tidak bermaya.
“Selain itu, denyutan jantung yang lambat, tidak menentu atau terus terhenti juga merupakan tanda-tanda mangsa terlebih dos,” katanya.
Jelasnya, sekiranya berlaku keadaan dos berlebihan, langkah awal yang boleh dilakukan ialah menyapa dan bertanyakan keadaan mangsa, membuat sentuhan bagi menyedarkan mangsa seperti mencubit atau menepuk bahu.
“Jika tiada tindak balas, beri bantuan pernafasan. Jika mangsa tidak bernafas, baringkan mangsa dalam keadaan mengiring dan periksa saluran pernafasan bagi memastikan tiada objek yang menyebabkan mangsa tercekik,” jelasnya.
Menurut Pengurus Program CAHR di MAC, Malini Sivapragasam, kes-kes kematian disebabkan dos berlebihan akan meningkat jika orang ramai tidak mendapat maklumat lengkap.
“Jika berlaku hal itu, tindakan segera perlu diambil. Hakikatnya, ia boleh dicegah dan nyawa mangsa dapat diselamatkan jika kita semua ambil peduli mengenai perkara ini,” kata Malini.
Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my
sumber 

No comments:

Post a Comment