Apricon Farmas Health: Kesan Sampingan ubat penahan sakit Apricon Farmas Health

Followers

Friday, October 19, 2012

Kesan Sampingan ubat penahan sakit



Ubat-ubat penahan sakit atau analgesik sudah menjadi sebahagian dari hidup kita. Terdapat dua kategori ubat analgesik iaitu narkotik dan bukan narkotik. Analgesik bukan narkotik yang sering kali digunakan untuk merawat sakit kepala, sakit gigi, sakit otot adalah dari kumpulan NSAID (Non-Steroidal Anti- Inflammatory Drugs) contohnya, Ponstan, Diclofenac, Aspirin, Naproxen dan Ibuprofen.

Ubat penahan sakit daripada kumpulan bukan narkotik (kecuali Acetaminophen) bertindak dengan cara menghalang pengeluaran Prostaglandin (sejenis bahan kimia yang dikeluarkan oleh bahagian tubuh yang mengalami kecederaan, inflamasi atau pun jangkitan) yang berfungsi menghantar isyarat ke otak.

Manakala untuk sakit yang lebih teruk, kombinasi ubat analgesik bukan narkotik dan narkotik sering digunakan. Namun analgesik narkotik hanya akan digunakan sekiranya sediaan-sediaan lain tidak berkesan untuk menahan sakit yang dialami.

Biarpun melegakan kesakitan, ubat-ubat penahan sakit ini mempunyai kesan sampingan dan bahaya jika disalahgunakan. Acetaminophen (Paracetamol) yang diambil dalam dos yang tinggi atau unutk jangka masa yang lama boleh menyebabkan kegagalan hepar (hati).

Aspirin pula boleh menyebabkan ulser dan pendarahan gastrousus selain daripada memberi kesan terhadap otak dan hati, jika ia diambil dalam dos yang tinggi atau dos yang rendah tetapi dalam tempoh yang panjang.

Opiat pula ubat penahan sakit daripada kumpulan narkotik dan selalunya diberi dalam keadaan sakit yang teruk. Beberapa contoh bahan ini adalah seperti codeine, fentanyl dan morfin.  Kesan sampingan jangka pendek akibat penyalahgunaan bahan-bahan ini susah untuk memberi tumpuan, anak mata mengecil, sembelit dan gangguan pernafasan.

Penggunaan bagi jangka panjang boleh menyebabkan ketagihan dan sering kali berpunca daripada kemampuan bahan ini untuk menyebabkan eurofia. Eurofia ialah satu keadaan keriangan dan kegembiraan yang abnormal dan selalunya disebabkan oleh pengambilan dadah. Oleh sebab badan mudah melakukan penyesuian dengan eurofia, penyalahgunaan akan terus menaikkan dos opiat  yang diambil.

NSAID yang selalunya diambil untuk menahan sakit kronik seperti artristis, sakit belakang atau sakit tengkuk boleh menyebabkan ulser dan pendarahan pada saluran gastrousus  jika digunakan secara berlebihan tanpa mengikut dos yang disyorkan atau penggunaan untuk jangka masa panjang.

Penggunaan NSAID dalam dos yang tinggi atau dalam jangka masa yang panjang boleh mendatangkan beberapa masalah yang serius kepada fungsi buah pinggang. Walaupun jarang terjadi, penggunaan NSAID boleh menyebabkan terjadinya beberapa masalah buah pinggang yang serius seperti sindrom nefrotik dan kegagalan buah pinggang akut. Tambahan lagi, NSAID dalam kombinasi dengan penggunaan berlebihan paracetamol (acetaminophen) boleh menyebabkan terjadinya nefropati analgesik.

Kajian terkini berdasarkan bukti-bukti yang ada pada ubat penahan sakit nonsteroidal (NSAIDs) mengesahkan bahawa rofecoxib (Vioxx, Merck) dan diclofenac  dikaitkan dengan risiko berbahaya penyakit jantung dan salur darah. Pada 2004, syarikat Meck menarik balik ubat terbabit kerana risiko serangan jantung (myocardial infarction) dan angin ahmar (strok).

Terapi ubat-ubatan menjadi pilihan dalam pencegahan, pengawalan dan perawatan pelbagai jenis penyakit. Meskipun begitu, terapi ini juga mempunyai kebaikan dan keburukan yang perlu dikenal pasti serta dipelajari oleh semua pihak tidak kira pengamal perubatan, pesakit dan lain-lain. Amalan gaya hidup sihat langkah terbaik ialah untuk mencegah penyakit dari berlaku selain mengambil pemakanan seimbang dan sihat.

No comments:

Post a Comment