PENGURANGAN risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.
Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan 
diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga 
perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.
Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, 
membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala 
sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya
. 
Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka 
menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas 
(malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).
Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain 
dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika 
saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ 
berhampirannya.
Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan 
merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta 
boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.
Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.
Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang 
terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal 
rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.
Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.
Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan 
diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita 
dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal 
pasti kanser di peringkat awal.
Petanda awal
Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan 
adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus 
besar.
Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj 
yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada 
payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi 
lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu. 
Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta 
keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak 
hilang dan juga perubahan pada suara.
Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya 
kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.
Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun,
 jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu 
dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.
Kanser paru-paru
Majoriti pesakit mendapat kanser paru-paru dari aktiviti merokok. 
Wanita yang merokok mempunyai risiko 12 kali ganda lebih tinggi untuk 
mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak 
merokok.
Walaupun jika anda bukan perokok, tapi menyedut asap rokok secara pasif juga dapat menambahkan risiko kanser paru-paru.
Lazimnya tanda-tanda kanser paru-paru hanya jelas kelihatan apabila penyakit tersebut sudah pun di peringkat yang teruk.
Pesakit pada kebiasaannya mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, 
kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas 
(wheezing), stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara.
Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod 
berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera 
makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.
Untuk mengelak kanser paru-paru, jangan mulakan merokok serta jauhkan
 diri dari asap rokok. Untuk mereka yang sudah pun mula merokok, carilah
 pertolongan supaya dapat membuang tabiat tersebut.
Kanser payudara
Kanser ini adalah antara penyebab kematian utama di kalangan wanita. 
Kebarangkalian untuk seorang wanita mendapat kanser ini pula adalah satu
 dalam lapan (1:8). Di antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan 
peningkatan risiko kanser jenis ini termasuk peningkatan umur, sejarah 
keluarga dengan kanser payudara (terutamanya di sebelah ibu atau saudara
 perempuan) serta pembawa gen genetik abnormal BCRA1 dan BCRA2.
Selain itu, penggunaan hormon gantian tanpa pengawasan doktor, 
pendedahan kepada radiasi serta sejarah menghidap kanser payudara juga 
meningkat risiko anda.
Penyusuan badan, pengurangan berat badan serta bersenam dapat mengurangkan risiko kanser ini.
Seperti juga mana-mana kanser lain, pengesanan awal dapat mencegah dan mungkin menyembuhkan dengan rawatan awal. 
Di antara perubahan awal yang perlu diperhatikan termasuk 
pembengkakan, tonjolan, kekerasan, penebalan dan juga pengecutan kulit 
pada payudara.
Kerengsaan pada kulit payudara serta puting yang tenggelam ke dalam, 
bersisik, berdarah, mengalami discaj, sakit serta tidak selesa perlu 
disiasat untuk kemungkinan kanser.
Anda dinasihatkan supaya menjalani ujian mammografi 
sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya sekiranya sudah menjangkau
 umur 50 tahun. Selain itu, anda juga harus proaktif dalam memeriksa 
payudara sendiri kerana diri sendiri lebih tahu perubahan awal badan. 
Kanser usus dan rektum (kanser kolorektal)
Kanser kolorektal ini perlahan tumbesarannya dan pada kebiasaannya 
bermula dengan polip di usus sebelum menjadi kanser. Anda dikategorikan 
sebagai berisiko sekiranya mempunyai waris terdekat (ibu, ayah, 
adik-beradik) dengan polip atau kanser kolorektal semasa berumur kurang 
dari 60 tahun, mempunyai penyakit yang melibatkan usus atau diri sendiri
 mempunyai polip di usus.
Lazimnya kanser kolorektal tidak mempunyai apa-apa petanda peringkat awal, tetapi selalunya didiagnosis pada peringkat lewat.
Antara petanda kanser jenis ini adalah perubahan dari kebiasaan 
tabiat usus, pendarahan dari rektum, darah di dalam najis ataupun najis 
berwarna hitam, najis menjadi panjang dan bergaris pusat kecil serta 
ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sedawa).
Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa 
sebab juga mungkin menjadi petanda kanser kolorektal yang akan 
memerlukan pemeriksaan lanjutan.
Bagi mereka yang telah melangkau umur 50 tahun, anda boleh menjalani 
ujian saringan seperti ujian darah di dalam najis setahun sekali, ujian 
sigmoidoskopi fleksibel setiap 5 tahun, ujian barium enema berkontras 
setiap 5 tahun serta ujian kolonoskopi setiap 10 tahun.
Walau bagaimanapun, ini bergantung pada faktor berlakunya kanser 
kolorektal setempat. Sekiranya statistik kejadian kanser kolorektal di 
tempat anda tinggi, makan anda juga berisiko dan lebih baik mengambil 
langkah berjaga-jaga.
Kanser kulit
Walaupun sebagai orang asia kulit kita lebih berpigmen, anda juga berkemungkinan boleh terkena kanser kulit.
Jenis-jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak 
seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan 
kadangkala tompok bersisik), jenis sel skuamos (kehadirannya juga 
menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya 
membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang 
berdarah).
Terdapat beberapa tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti 
perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan 
melecur.
Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran 
tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan 
pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.
Pastikan yang anda juga memeriksa pada semua tempat sama ada yang terdedah atau terlindung daripada cahaya matahari.
Kanser ovari
Risiko untuk mendapat kanser telur adalah kecil, tetapi 
kebarangkaliannya meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas 
melangkau usia 60 tahun. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser 
jenis ini termasuklah kemandulan, makanan kaya dengan lemak, sejarah 
kanser usus dan payudara, endometriosis serta pembawa gen abnormal BRCA1
 dan BRCA2.
Mereka yang kurang risikonya termasuklah mereka yang mengambil pil 
perancang keluarga, pernah melahirkan anak walaupun sekali dan mereka 
yang pernah menyusu badan.
Kanser ovari, bila dikesan, mungkin sudah pun terlambat. Oleh itu, 
anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan 
lanjutan seperti ultrasound memandangkan tidak ada ujian saringan khas 
untuk kanser ini.
Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di
 kawasan pinggul, kembung, sendawa, bergas, kesukaran pencernaan yang 
tidak dapat dijelaskan, pendarahan abnormal melalui faraj serta 
pembengkakan abdomen.
Kanser rahim
Risiko kanser rahim meningkat selepas umur 55 tahun, terutamanya 
mereka di dalam julat di antara 60 hingga 75 tahun dan jarang berlaku di
 kalangan mereka di bawah 40 tahun.
Mereka yang menggunakan pil perancang keluarga juga mempunyai risiko yang rendah.
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser rahim termasuklah 
penggunaan hormon gantian estrogen sahaja (tanpa progesteron), tidak 
pernah melahirkan anak, putus haid selepas umur 52 tahun, lebih berat 
badan, darah tinggi, kencing manis serta penyakit lain seperti masalah 
tiroid dan hempedu.
Penggunaan ubat Tamoxifen, Hiperplasia lapisan dalaman rahim, 
penyakit keturunan seperti kanser usus juga meningkat risiko kanser 
rahim.
Anda juga berisiko sekiranya mempunyai haid tidak teratur dan kerap kali tidak datang haid.
Tanda-tanda amaran kanser rahim termasuklah pendarahan selepas 
menopaus, discaj atau lelehan di antara tempoh haid dan haid yang 
berpanjangan dengan kehadiran darah yang banyak.
Biasanya doktor tidak menjalankan saringan untuk kanser rahim, tetapi
 sekiranya disyaki, anda mungkin dikehendaki menjalani ujian-ujian 
seperti:
Biopsi endometrial  pensampelan tisu dari dalaman rahim untuk kajian.
Pemeriksaan ultrasound  terutamanya ultrasound melalui faraj, mengukur ketebalan dinding endometrium.
Penkuretan dan dilatasi  pangkal rahim di buka, dan dalam rahim disedut ataupun dicalit untuk kajian lanjutan.
Histeroskopi  penggunaan peralatan optik untuk melihat secara langsung dengan pembesaran imej dan persekitaran di dalam rahim.
Kanser pangkal rahim (serviks)
Ujian saringan PAP dapat mengesan keabnormalan pangkal rahim pada 
peringkat awal. Ujian lanjutan seperti kolposkopi mungkin dijalankan 
untuk kepastian. Contoh tisu pangkal rahim diambil untuk kepastian jika 
ianya kanser rahim.
Puan berisiko tinggi untuk kanser pangkal rahim sekiranya mempunyai 
infeksi virus HIV (Human Immunodeficeincy Virus), virus HPV (Human 
Papilloma Virus), sistem imuniti badan yang lemah atau terdedah pada 
ubat diethylstilbesterol (DES) semasa anda di dalam kandungan (ubat ini 
tidak lagi digunakan sekarang).
Peringkat awal kanser ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang petanda
 tetapi sekiranya mengalami mengalami masalah berikut, segeralah 
berjumpa dengan doktor.
Discaj atau lelehan abnormal melalui faraj
Pendarahan abnormal melalui faraj
Pendarahan selepas hubungan kelamin
Sekarang terdapat imunisasi terhadap kanser pangkal rahim yang 
disebabkan oleh HPV dan ianya dinasihatkan diberikan pada anak-anak 
perempuan yang berumur antara sembilan hingga 26 tahun. Vaksin ini 
diberikan dalam tiga dos.
Walaupun divaksinasi, ujian saringan PAP masih perlu dilakukan kerana
 terdapat beberapa jenis lagi virus HPV yang tidak dapat dilindungi 
melalui vaksinasi.
Kanser faraj dan vulva
Kebanyakan kanser jenis ini berlaku pada mereka berusia melebihi 60 
tahun. Sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut di sekitar alat 
kelamin, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor dengan segera.
Kudis, pembengkakan yang tidak hilang-hilang
Kegatalan
Pendarahan yang abnormal
Perubahan pada kulit-kulit di sekitar, seperti perubahan pada tahi lalat
Perokok dan mereka yang dijangkiti virus HPV berisiko tinggi. Biopsi 
tisu pada luka-luka yang timbul mungkin perlu diambil untuk ujian 
saringan lanjutan.
Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:
- Tidak merokok atau berhenti merokok
- Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans
- Banyakkan makanan berserat tinggi
- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
- Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari
- Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari
- Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda
- Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas
- Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu
- Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.
 
 

 
 
No comments:
Post a Comment